Showing posts with label PESAWAT TERHEMPAS. Show all posts
Showing posts with label PESAWAT TERHEMPAS. Show all posts

Thursday, February 11, 2010

Kejadian Pesawat Terhempas di Tanjung Kupang, JOHOR- 4 DISEMBER 1977- Part 1


Sebelum ini aku ada jugak terdengar kisah ini dengan my FIL(father in law) tapi takderlah..ambil port sangat..so, semalam..ada terbaca kisah ni..kat satu forum..so mcm interesting plak..nak teempak kat sini..n share kat semua....Tak disangkakan.. pesawat MAS telah mencatat satu pengalaman yang ngeri..Sebelum ni suka gaks tengok kt National Geographic ker..tentang..'Plane Crach'..tapi kat luar2 negara jerk..tak sangka Malaysia pun telah digembarkan dengan berita ' plance crach' dah hampir 33 tahun pun..Kejadian ni berlaku..sehari selepas hasben aku dilahirkan....Kejadian tersebut pada 4 Disember 1977 dan my hasben lahir on 3 Disember 1977..

Info Tragedi

* Pesawat: Penerbangan Malaysia MH 653
* Dari: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
* Destinasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
* Penumpang: 93 + (7krew)
* Kematian: 100 orang
* Jenis Pesawat: Boieng 737-2H6
* Tarikh: 4 December 1977
Gambar ini dirakam pada tahun 1976 iaitu setahun sebelum kejadian

Mari ikuti kisah ini.

JAM menunjukkan sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977 apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan.

Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor.

HUTAN bakau di Tanjung Kupang menjadi kawasan lapang selepas tragedi pesawat terhempas pada 4 Disember 1977.

Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang pesawat bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam.

Ketika pegawai petugas menara kawalan meminta penjelasan lanjut, juruterbang berkenaan segera membalas dengan menyampaikan satu makluman yang amat mengejutkan – pesawat berkenaan dirampas pihak tertentu!

Mendengar penerangan itu, segera menara kawalan menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat.

Pesawat berkenaan terbang semakin rendah untuk mencecah landasan tetapi belum pun sempat ia menjejakkan roda, tiba-tiba ia kembali terbang tinggi meninggalkan daratan.

Tanda tanya terus tercetus tatkala melihat tindakan aneh juruterbang tetapi ketika itu jugalah menara kawalan kembali dimaklumkan juruterbang pesawat berkenaan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura.


BARANG mangsa yang bertaburan dikumpulkan.


Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura terus dimaklumkan mengenai situasi cemas dihadapi penerbangan MH653 itu dan kelulusan untuk mendarat segera diberikan pihak berkuasa negara terbabit.

Akan tetapi, tidak lama selepas itu, secara tiba-tiba pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal.

Runsing, cemas dan tanda tanya terus bercampur baur pada pihak berkaitan tatkala memikirkan kehilangan misteri pesawat terbabit daripada radar selain situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan berkenaan.

Sementara itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam.

Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah masing-masing sambil berehat dan menonton televisyen manakala sebilangan lagi melepaskan penat lelah berikutan terdapat kenduri kahwin yang diadakan pada siangnya.

Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu.

Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan – di hadapan mata mereka, kelihatan pesawat gergasi terbang dalam keadaan ‘bergoyangan’ dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja.

Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika pesawat berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu pesawat itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan.

Pesawat berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar sehingga ada penduduk menyangka yang gempa bumi berlaku di kampung itu. Gegaran itu diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara.

Serentak itu juga banyak barang dan serpihan pesawat melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh.

Tidak lama kemudian, satu laporan diterima pihak polis berhubung tragedi kapal terbang yang terhempas di kawasan hutan bakau di Tanjung Kupang.

Laporan itu membawa berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan pesawat menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama ‘padang jarak padang terkukur’ apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda pesawat.

Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa pesawat berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu.

Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging.

Pelbagai peralatan daripada pesawat termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan.

Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak pesawat dan hari itu, satu tragedi pesawat terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara.


Kredit to blog kat bawah ni:

http://sofianhilmi.net/blog/?p=269&cpage=1#comment-9705


PESAWAT MAS TERHEMPAS- PART 2

KEJADIAN ANEH SELEPAS KAPAL TERBANG TERHEMPAS

HAMPIR 30 tahun kejadian berlaku, namun sehingga kini masih menjadi igauan dan ingatan penduduk sekitar Kampung Ladang, Gelang Patah, Johor Bahru, kawasan kapal terbang MH 653 milik Penerbangan Malaysia (MAS) terhempas dan mengorbankan 93 penumpang dan tujuh anak kapal pada 4 Disember 1977.

Sehingga kini, punca nahas itu tidak diketahui, walaupun MAS mengesahkan ia dirampas. Menurut laporan, pesawat itu dirampas sebaik saja berlepas dari Pulau Pinang dan cuba mendarat di Lapangan Terbang Subang, tetapi terpaksa meneruskan penerbangan ke Singapura sebelum terhempas.

Bagaimanapun, kejadian itu terus mewujudkan pelbagai andaian, cerita dan kenangan. Pelbagai cerita aneh turut diceritakan pelbagai pihak selepas kejadian itu.

Antaranya, kisah seorang pemandu teksi mengambil penumpang wanita muda bersama seorang anak kecil di kampung itu, tidak jauh dari kawasan kemalangan. Penumpang berkenaan meminta dihantar ke Jalan Kebun Teh iaitu tanah perkuburan khas bagi menempatkan mangsa tragedi.

Apabila sampai di situ, wanita itu meminta keluar sebentar untuk menziarah makam dengan menumpangkan anak kecilnya di tempat duduk hadapan teksi.

Bagaimanapun, sebaik berpaling melihat wanita itu berjalan ke arah makam, anak kecil di sebelah tempat duduknya bertukar menjadi batu nisan dan wanita itu turut ghaib.

Sehingga kini, tidak ada pokok termasuk pokok bakau dapat hidup di kawasan kapal terbang terhempas itu.

Ketua Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Abu Bakar Mohd Ali (gambar), 58, berkata beliau masih teringat kira-kira lima hari selepas kejadian, dia menerima kedatangan seorang pelanggan, seorang anggota polis hutan yang membeli barangan keperluan di kedai runcitnya.

Beliau berkata, ketika itu, dia perasan, wang yang digunakan untuk membeli barangan adalah wang kertas RM5 yang banyak ditemui di lokasi kemalangan serta berbau darah.

"Saya mengesyaki wang berkenaan milik mangsa yang terbabit dalam nahas itu. Saya mencium wang berkenaan untuk memastikannya selepas pelanggan berkenaan meninggalkan kedai dan saya yakin ia berbau darah," katanya.

Abu Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur semalaman.

“Bagaimanapun apa yang menakutkan ialah bayangan lembaga hitam mengganggunya sehingga dia berasa seolah-olah ada benda berat menindih badannya.

"Saya tidak dapat melihat dengan jelas lembaga hitam itu sama ada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, saya percaya ia disebabkan saya menerima wang milik mangsa kemalangan berkenaan.

"Kejadian itu menyebabkan saya menjadi seperti tidak tentu arah dan sentiasa terperanjat hampir seminggu," katanya.

Seorang nelayan, Sulaiman Othman, 58, berkata kawasan nahas berkenaan berhampiran sebuah pangkalan nelayan.

Katanya, dia sering berulang-alik di kawasan itu termasuk pada hari kejadian apabila turun ke laut untuk menangguk udang kira-kira jam 7.30 malam bersama dua lagi rakan.

"Kira-kira jam 8.45 malam, kami terdengar bunyi bising. Pada mulanya, kami ingat bunyi kapal terbang Singapura menjalani latihan. Bagaimanapun, bunyinya pelik dan berdesing seperti wisel.

"Tidak berapa lama kemudian, kami melihat sebuah pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi dentuman sebelum satu letupan kuat dan api menjulang beberapa puluh meter ke udara," katanya.

Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pelbagai dokumen dan barangan turut tercampak ke laut.

“Saya amat terkejut dan bersama seorang rakan kembali ke darat untuk melihat apa yang terjadi. Saya dapati pelbagai barangan bersepah berhampiran tempat kejadian seperti pakaian, makanan, kertas dan sebagainya.

"Kami juga melihat satu daripada sayap kapal terbang berkenaan tercacak pada benteng manakala tayar di kawasan bakau. Selain itu, banyak wang kertas RM5 turut ditemui bertaburan di atas tanah serta perut manusia.

"Semua mayat sudah hancur dan tidak lagi kelihatan bentuk. Apa yang kami dapat lihat ketika itu hanya gumpalan daging saja," katanya.

Beliau yang dipercayai penduduk kampung pertama sampai di tempat kejadian mendakwa menemui ikan kurau kering masih elok di dalam sebuah bakul yang biasa dibawa masyarakat Cina pada masa itu.

Katanya, tidak lama kemudian, satu helikopter dari Singapura sampai di tempat kejadian dan mula menyuluh ke tempat kejadian.

"Mereka juga mengikuti pergerakan kami di lokasi berkenaan untuk tempoh beberapa minit menyebabkan kami meninggalkan lokasi berkenaan.

"Mungkin mereka menyangka kami antara mangsa terselamat dalam nahas berkenaan," katanya yang mendakwa tidak lama kemudian berpuluh-puluh ambulans dan jentera bomba datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa nahas.

Sulaiman berkata, tiga hari selepas kejadian, dia memasuki kawasan tragedi dan cuba mengambil sebelah kasut kulit yang ditemui di tempat kemalangan berkenaan.

“Saya sungguh terkejut apabila mendapati ada kaki manusia di dalam kasut berkenaan. Saya juga ada mendengar cerita seorang penduduk kampung mengambil kasut di kawasan kemalangan tetapi terpaksa memulangkan semula apabila tidak dapat tidur," katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman dan Abu Bakar kesal kerana janji untuk membina peringatan di atas kawasan nahas berkenaan tidak ditunaikan.

Kawasan itu kini diambil alih dan menjadi sebahagian tanah milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).


Petikan: Berita Minggu 9/7/06


PESAWAT MAS TERHEMPAS- Part 3

Baca kat bawah ni:

Daging berkecai di 'paya hangus'

Tapak pesawat Penerbangan Malaysia MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 kini hanyalah sebuah belukar tinggal. Ia menyembunyikan 1,001 misteri yang belum sempurna terjawab.

ANTARA faktor pemula kisah yang disiarkan ini ialah cerita-cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh para pemandu teksi di sekitar Johor Bahru. Mereka menyebarkan cerita tentang kelibat wanita berpakaian seperti pramugari pada waktu malam di jalanan sekitar Jalan Kebun Teh dan juga di Gelang Patah, Johor.

"Wanita itu meminta dihantarkan ke salah satu destinasi itu. Kawan saya pernah terkena sebelum ini. Apabila ditanya wanita itu kenapa dia mahu turun di tempat yang gelap dan bukan kawasan perumahan, wanita itu tiba-tiba ghaib dari tempat duduk penumpang.

"Ada pula yang sempat dijawab wanita itu. Katanya, 'bang, saya nak cari tangan saya yang putus'. Gugur jantung saya," cerita seorang pemandu teksi, Yusof Mohamad, yang menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa dirinya tidak diuji dengan pengalaman seperti itu.


Ramai orang di bandar raya Johor Bahru maklum tentang kisah seram tersebut. Sama ada mendapat respons ketawa atau rasa takut yang melampau, ia sebenarnya merantai ingatan mereka terhadap sebuah tragedi dahsyat yang pernah berlaku lebih tiga dekad lalu.

Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS). Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.

Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya.

Kegemparan itu mengejutkan sekalian penduduk kampung nelayan di situ. Ada yang berkurung dan segera menutup pintu kerana ketakutan. Ada pula penduduk yang berani bergegas ke tempat kejadian.

"Saya ternampak gugusan api yang marak menyala di langit. Sejurus ia terhempas ke bumi, bergegar jadinya kawasan ini. Semua orang terdiam dan berdebar-debar," ujar seorang warga Kampung Tanjung Kupang, Ahmad Puteh, yang sewaktu kejadian itu berusia 26 tahun dan masih bujang.



NAHAS MH653 mendapat perhatian ramai termasuk Tengku Mahkota Johor, Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Hussein Onn (kini Tun), Menteri Perhubungan, Mendiang Tan Sri Manickavasagam dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Awang.

Segalanya masih jelas dalam memori nelayan berusia 58 tahun itu. Menurutnya, hanya selepas setengah jam, baru dia nekad untuk melihat 'raksasa' apakah yang jatuh ke kampungnya itu.

Kutip duit berguni

Dalam gelap malam yang diterangi api yang masih marak, orang kampung sungguh terkejut apabila mendapat tahu yang jatuh itu adalah bangkai kapal terbang.

"Sebelum kedatangan pihak berkuasa, saya melihat beberapa orang kampung sibuk mengutip sesuatu di tanah. Duit berselerak macam daun pokok getah.

"Malah ada yang dapat kumpul hingga berguni-guni banyaknya," katanya yang tidak berani mengambil, namun tidak menafikan bahawa sesiapa pun akan tergerak hati untuk memungut not-not kertas wang ringgit, yen Jepun, dolar Amerika dan pound sterling di sekitar kawasan tragedi.

"Saya dengar cerita, beg-beg yang berisi pakaian dan barang kemas pun dijumpai orang kampung. Bila tengok barang-barang macam itu, mereka pun 'menyelit-nyelit'lah.

"Paling kecoh, apabila ada seorang yang ternampak cincin lalu ingin memungutnya secara diam-diam. Rupa-rupanya, cincin itu masih tersemat pada sebatang jari yang sudah putus!" kata seorang suri rumah, Zaiton Dol, 47, tentang tabiat rakus orang kampung.

"Entah siapa agaknya yang membawa wang tunai begitu banyak. Tapi bila difikirkan balik, memang ramai orang kenamaan dalam kapal terbang itu, kan? Mesti barang-barang itu milik mereka," katanya.


Selain mengorbankan seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican.

Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang dan petugas kabin. Tiada seorang pun yang terselamat dalam pesawat yang dipandu juruterbang Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu.

Seorang lagi penduduk kampung yang teruja menceritakan kisah itu ialah Siti Rahmah Ismail, 39. Walaupun ketika kejadian dia baru berusia tujuh tahun, Siti Rahmah masih mengingati banyak perkara.

"Budak-budak disuruh tidak keluar dari rumah. Maklumlah, ibu bapa kami takut perkara buruk terjadi kepada kami. Keadaan semakin kecoh apabila pihak berkuasa dan keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian. Kerja-kerja menyelamat berlarutan ke lewat malam," imbasnya.


MEMORIAL memperingati tragedi pesawat Boeing 737 MH653 masih dikunjungi ahli keluarga mangsa di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Keesokannya, udara kampung menjadi tidak nyaman. Ramai yang terkejut apabila terjumpa atau ternampak dari jauh kecaian daging dan tulang manusia yang bersepah dan membusuk. Lebih meloyakan adalah apabila isi perut yang terburai dilihat tersangkut pada ranting dan dahan pokok bakau.

"Ramai yang tidak boleh tidur malam kerana dibayangi pemandangan itu. Apatah lagi mereka diganggu mimpi ngeri, terutama mereka yang telah mencuri simpan barang peribadi milik mangsa nahas," kata Ahmad.

"Siapa yang mengambil milik orang pada malam kejadian, terimalah habuannya. Mereka tidak tenang. Sampai ada yang sakit seperti terkena badi hingga terpaksa dibawa berubat," tambah Zaiton pula.

Suara jeritan

Ahmad mengakui, selama beberapa tahun, Kampung Tanjung Kupang terutama di kawasan tragedi itu seperti berhantu. Semua orang takut untuk melaluinya.

"Kalau menaiki motosikal di daratan atau menaiki bot di sebelah paya bakau itu, pasti akan terdengar suara-suara kelam seperti orang menjerit, meratap dan memekik meminta tolong.

"Penghuni rumah yang paling dekat dengan tempat kemalangan juga telah lama berpindah sejak tragedi itu berlaku," kata Ahmad mengenai sebuah rumah tinggal yang terletak kira-kira 100 meter dari rebakan api bangkai MH653.

Kru Jurnal yang mengunjungi Tanjung Kupang kelmarin nekad 'menceroboh' masuk tapak tragedi walaupun mengetahui laluan masuknya sudah dipagar kerana telah menjadi milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Sewaktu memperlahankan kereta di sebatang jalan yang sempit, tidak pula terasa apa-apa yang meremangkan bulu roma.

SELAIN tapak tragedi, balai polis lama di Tanjung Kupang ini juga sudah menjadi sejarah lantaran tidak lagi berfungsi.


AHMAD PUTEH

Semakin kereta kami ditelan belukar yang kian meliar, bau busuk tiba-tiba menusuk hidung. Namun, bau itu bukan daripada bau reputan daging manusia seperti yang diceritakan sebelumnya. Saat tiba di penghujung jalan, kami menemui sebuah kandang lembu yang diusahakan oleh seorang penduduk kampung, Mohamad Nor Kamaludin, 34.

"Daripada kawasan ini terbiar, biarlah saya memanfaatkannya. Lagipun kandang ini hanya sementara," kata Mohamad yang seakan-akan tahu tujuan kedatangan kami.

"Memang di sinilah tempat kapal terbang itu jatuh. Kisah tragedi itu sudah lama berlalu, tak ada apa pun yang menakutkan di sini. Silakanlah ambil gambar. Orang kata, masih ada tayar kapal terbang di hujung tanah sana. Kalau ada pun, pasti dah tenggelam ke dalam lumpur," ujarnya.

Menurut sumber daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas, tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan PTP secara konsesi. Ia sekadar dirizab sebagai zon bebas aktiviti manusia.

Paya hangus yang telah mengorbankan 100 jiwa itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder. Wartawan Jurnal sekadar menemui sebuah terusan air dan benteng tanah laterit yang ditinggikan bagi memisahkan kawasan belukar darat dengan kawasan bakau yang semakin teranjak melebihi garis air laut.

Di situlah 32 tahun lalu berlaku sebuah tragedi yang telah menggemparkan negara.

Petikan dari : Mastika..