Wednesday, February 1, 2012

Ustaz DON Terkenal Hanya Dgn ' 30 Minit'

Assalamualaikum w.b.t,

Mama dapat info ni dari email jerk, jom nak kongsi sikit info tentang Ustad Don, fenomena positif yang melanda umat islam muda mudi khasnya di Negara ini...tapi tidak terlupa juga pada Ustad Azhar Idrus...nanti mama nak cari infor pasal Ustad Azhar Idrus pulak...InsyaAllah, mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat membantu anak2 muda zaman kini, yang berumur pun digalakkan juga, masih ada ilmu yang belum penuh di dada...selalulah tengok tv9 dan juga tv alhijrah

Nama: Don Daniyal Don Biyajid
Tarikh lahir: 14 November 1984
Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tinggi: 171 sentimeter
Berat: 56 kilogram
Pekerjaan: Pensyarah muda & pendakwah bebas bertauliah Pulau Pinang & Selangor)
Status: Bujang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir  
   

SIRI ceramah dan tazkirah yang dikendalikan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di stesen kabel Al-Hijrah dianggap dimensi baru dalam berdakwah. Gaya penyampaian santai dan humor dalam dialek utara mewujudkan suasana santai. Kolum XY - Ikon Lelaki berkongsi kembara dakwah dan erti korban pendakwah muda ini...

SEPERTI gelagatnya dalam program ‘30 Minit Ustaz Don’, begitulah gaya santai personaliti ini pada pertemuan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Seri Putera, Kajang, baru-baru ini.

Kebetulan, ketika itu juga, majlis korban berlangsung di KUIS, Ustaz Don Daniyal tidak ketinggalan ‘turun padang’ bergotong-royong.

Rancak bertutur dalam dialek utara, perbualan bersama Ustaz Don Daniyal cukup menarik. Suka berceloteh, memberi teladan dan berkongsi ilmu dimilikinya, Ustaz Don Daniyal nyata berbangga dapat berkongsi apa yang ada dalam benak fikirannya.

Pada usia yang menginjak 27 tahun Isnin ini, personaliti muda ini cukup merendah diri. Ustaz Don Daniyal tidak pernah menganggap ilmu agama di dada sudah cukup, sebaliknya sentiasa mengingati diri untuk terus dahagakan maklumat baru untuk dicerna dalam minda.

Buktinya, walaupun sudah bergelar pensyarah muda di Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di Akademik Islam KUIZ, Ustaz Don Daniyal masih lagi memburu cita-cita. Beliau sedang melanjutkan pengajian tahun akhir Peringkat Ijazah dalam jurusan Qiraat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Proses pembelajaran bagi saya tidak pernah terhenti. Dari mula sekolah rendah, menengah hingga pengajian diploma tahfiz di Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, proses menimba ilmu masih belum berakhir.
“Dari pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Takhassus Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra di Mesir, saya sekarang dalam tahun akhir program ijazah sarjana dalam jurusan Qiraat di UKM,” katanya sambil menjelaskan pengajiannya itu antara lain menyentuh aspek pembacaan al-Quran menurut 10 imam Qiraat.

Menyentuh mengenai kemunculannya dalam program ‘30 Minit Ustaz Don’ yang ke udara setiap Isnin hingga Selasa di stesen kabel Al-Hijrah, beliau pengisian program itu adalah hasil kerja keras semua pihak yang menunjanginya.

Menurutnya, apa yang dipaparkan adalah kesinambungan daripada ilmu dan pengajaran dari guru dan ustaz yang membimbingnya dulu.

Selesa dengan imej berjubah dengan serban, masih ada sisi bergaya dalam peribadi seharian Ustaz Don Daniyal. Malah, beliau sempat menggayakan kaca mata Ray-Ban Aviator pada sesi fotografi berlangsung.

Dua jam bersama personaliti istimewa ini, jom berkongsi lembaran hidup dan perjuangan bersama pendakwah muda ini...

Boleh ceritakan bagaimana segala-galanya bermula hingga anda ditawarkan muncul di TV Al-Hijrah?

Pertamanya, saya perlu berterima kasih kepada kenalan saya, Kamarul Zaman yang juga Ketua English Unit (EU) ketika kami sama-sama menuntut di Mesir dulu.
Beliaulah yang mencadangkan nama saya kepada saudara Yaakob yang ketika itu masih berkhidmat di TV Al-Hijrah. Bermula daripada program Assalamualaikum, syukur akhirnya saya diberi kepercayaan mengendalikan program 30 Minit Ustaz Don.
Pada awal kemunculan, memang saya rasa gementar tetapi saya memohon doa kepada Allah SWT supaya ada perasaan ini. Jadi kita akan rasa kerdil dan sedia memberi yang terbaik.

Bagaimana agaknya anda mencatur jadual harian anda dengan pelbagai komitmen?
Saya mengaku perlu masa untuk belajar mengurus waktu. Saya tidak nafikan, ketika ini ada beberapa jawatankuasa kariah masjid bagai berkecil hati kerana banyak kali saya terpaksa menolak jemputan dek kesibukan saya.
Saya mohon maaf kerana kita juga manusia dan cuba belajar mengurus waktu. Namun, saya banyak menerima nasihat dari ibu bapa, keluarga, sahabat, ustaz terkenal, Rektor KUIS, ketua-ketua jabatan dan rakan pensyarah lain yang memahami tugas saya hingga memberikan kelepasan kepada saya.

Apakah wawasan yang diamal dan menjadi pegangan hidup anda?
Wawasan saya, satu saja. Saya mahu semua orang sayangkan Rasulullah SAW. Saya sendiri sentiasa mengingatkan diri untuk berakhlak baik. Ini kerana Insya-Allah, dengan berbuat demikian, 100 kali Rasulullah SAW sayangkan kita.
Saya sentiasa tanam perasaan sayangkan Rasulullah sejak di bangku sekolah dan menyemai perasaan itu. Tetapi apa yang saya banggakan apabila usia mencapai 25 tahun, semacam ada perasaan lebih dekat dan sayang yang meluap-luap pada Rasulullah SAW.
Bagaimana hendak terbitkan rasa itu, bacalah al-Quran, baca sejarah nabi, hadis dan surah. Ibarat pepatah Melayu, ‘tak kenal, maka tidak cinta’.

Apa pendekatan anda untuk memastikan remaja terdidik dalam ilmu Islam yang sebenar?
Hendak kata remaja hari ini tidak sayang kepada Islam adalah tidak benar. Namun, sesetengah daripada mereka mendapat maklumat dan informasi yang salah mengenai Islam.
Apa yang saya lihat, maklumat dan perbuatan atau contoh ditunjukkan pihak tertentu yang menyebabkan Islam disalaherti. Saya merayu semua pihak bersatu, tunjukkan teladan yang baik sama ada pemimpin, ibu bapa, orang tua atau sesiapa saja.

Siapa pendorong atau idola anda sehingga berada pada kedudukan sekarang?
Saya dibesarkan dalam keluarga biasa saja. Ayah saya seorang pembantu makmal, ibu pula pembantu tadbir. Ibu bapa saya cukup menitik beratkan pendidikan. Atas nasihat merekalah saya mencapai kedudukan sekarang.
Alhamdulillah, kakak saya seorang graduan undang-undang, adik pula sedang mengikuti pengajian ijazah alam sekitar di UKM. Seorang lagi adik saya menjadi jurutera. Pendorong saya adalah guru-guru dari dulu hingga sekarang. Rakan-rakan juga tidak pernah jemu memberi teguran, sokongan dan nasihat.

Pernahkah ustaz mengalami kegagalan dalam hidup?
Biasalah kita sebagai manusia. Secara jujur, saya bukanlah pelajar cemerlang. Semua orang yang pernah duduk dengan saya tahu saya bukanlah pelajar cemerlang.
Namun, saya tanamkan azam dengan niat belajar kerana Allah SWT.
Alhamdulillah, akhirnya pada semester kedua dalam pengajian peringkat Ijazahm saya peroleh Anugerah Dekan. Kepandaian adalah anugerah Allah tetapi tanpa ilmu, ia tidak memberi apa-apa makna. Pada saya, ilmu adalah asas pembentukan peribadi.

Sempena Aidiladha, boleh anda terjemahkan erti pengorbanan mengikut pemahaman anda?
Siapalah kita hendak berbicara soal pengorbanan berbanding apa yang dilakukan Nabi Muhamad SAW. Pengorbanan nabi dan para sahabat dalam menyebarkan Islam, masya-Allah.

Setakat kita tidak tidur malam untuk menyempurnakan ibadat-NYA, Nabi SAW dan para sahabat sanggup berkorban harta dan nyawa hingga sampai tumpah darah orang tersayang.

Hari ini kita cakap gah pasal Islam, tetapi kita berkorban cukup sikit. Seperti sabda Rasullullah ‘Allah tidak memberatkan seseorang, melainkan atas apa yang dia mampu’.

Jadi sebagai ibu bapa, berkorbanlah sekadar apa yang kita mampu. Begitu jugalah sebagai seorang anak, masyarakat dan pemimpin yang berkorban untuk rakyat dan negara.

Di sebalik nama unik...

BUKAN nama glamor, bukan juga gimik untuk tampil berbeza di kaca televisyen. Sebaliknya, pangkal nama Don yang tertera dalam kad pengenalan jejaka ini adalah kesinambungan susur galur nama keluarga yang dimulakan daripada ayahnya, Don Biyajid.

Selain ayahnya, ujar Don, nama Don itu digunakan semua adik-beradik ayahnya manakala wanita pula bergelar Dona.

“Memang agak unik nama ini. Setakat ini, sudah hampir 90 ahli keluarga dari ayah, adik beradiknya hinggalah generasi seterusnya menggunakan nama ini.

“Pangkal nama ini ibarat menjaga keturunan, bermakna kalau kita memperlakukan perkara yang tidak elok, terpalitlah semua pemilik nama Don dan Dona.

“Sama jugalah jika kita berbuat baik. Ia pasti menambah kebanggaan nama keturunan Don dan Dona,” kata Ustaz Don Daniyal yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Bercerita soal kehidupan hariannya, Ustaz Don Daniyal mengakui, beliau cukup sederhana. Namun, dalam kesibukannya sebagai pensyarah muda, penuntut dan pendakwah bebas, beliau masih ada masa untuk berhibur dan melakukan aktiviti masa lapang.

Menyentuh soal penampilan, anak muda ini mengakui, bukanlah sepanjang masa beliau menyarung jubah atau berserban. Ada ketikanya, Ustaz Don Daniyal menggayakan sut dan bertali leher dan memilih seluar khakis dan kasut sukan ketika bersantai.

“Bagi saya dengan memakai jubah, ia menyebabkan saya rasa bangga. Malah, bertemu dengan anda dan ditemuramah, juga menerbitkan rasa bangga dalam diri. Jadi, pemakaian jubah dan berserban ini adalah lambang kebanggaan diri saya,” katanya yang selesa berimej botak nipis.

Pada akhir pertemuan, sempat juga mencungkil status dirinya yang dikhabarkan masih bujang. Tanpa berselindung, Ustaz Don Daniyal mengakui beliau sudah bertunang dengan seorang penuntut tahun kelima Jurusan Perubatan di Universiti Kaherah, Mesir.

Ditanya bila hendak makan nasi minyak? Ringkas jawapan yang diberi pendakwah muda ini, biarlah rahsia!



Glitter Text @ Glitterfy.com
glitter-graphics.com

No comments: