Tuesday, August 17, 2010

Kisal Rasul: Pemuda beribu bapa babi

Jom renungkan kisah ini untuk pengajaran dan pedoman buat semua.Sumber dipetik dari email. Mudah-mudahan kita semua kelak menjadi anak yang soleh dan solehah demi kesejahteraan bersama ibu dan ayah kandung kita.


NABI Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina.
Di atas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tiada pada nabi lain.


Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?" Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Selepas beberapa hari dalam perjalanan, Nabi Musa sampai ke tempat itu dan dengan pertolongan beberapa penduduk, Baginda bertemu dengan orang itu. Selepas memberi salam, Baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke bilik dan melakukan sesuatu di dalam sebelum keluar dan membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?” kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Selepas itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.


Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid," jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu," Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba," kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua-dua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka melakukan dosa besar, Allah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh. “Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. “Hari-hari aku berbakti kepada ibu bapaku seperti mana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka babi, aku tetap melaksanakan tugasku.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia sebenar tetapi Allah belum memakbulkan," tambah pemuda itu lagi.


Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti kerana berbakti kepada ibu bapanya. “Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami." Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Oleh kerana dia berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang Kami sediakan di neraka, Kami pindahkan ke syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke neraka pindah ke syurga. Ini hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Walau bagaimana buruk sekali pun perangai ibu bapa kita, itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.


Doa anak yang soleh akan membantu ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan ibu bapa di alam kubur.


Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kepada ibu bapanya ialah dengan doanya supaya mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.




No comments: